16 Mei 2010

Guru

Guru, membuka minda yang masih bayi,
menunjukkan kepelbagaian intelek,
dan keajaiban akan kebolehan berfikir
untuk diri sendiri,

Guru, melatih
otot-otot mental para pelajar,
meregang dan menguatkan,
agar dapat pelajar melaksana keputusan mencabar,
mencari jalan di dunia,
dan berdikari.

Guru, anda cukup penyayang,
dengan lembutnya menolak dan memaksa
pelajar untuk melangkaui kebolehan bakat,
dan mencapai potensi maksima,

Anda adalah itu.
Terima Kasih Guruku.

SELAMAT HARI GURU.

Nukilan : PKKSJNS

10 Mei 2010

Kem Bina Insan SR 2010

Hujan turun dengan lebatnya semalam di kawasan Kota Kinabalu. Jalanraya dari Tuaran menuju ke Kota Kinabalu sesak dengan kenderaan-kenderaan.
Petang ini juga akan bermula Perkhemahan Bina Insan SR, diharap para jurulatih dan peserta dapat tiba ke Kem Malangang dalam keadaan selamat. Selamat bertugas, selamat berkhemah!

07 Mei 2010

Kursus Bantu Mula

Seramai 30 orang jurulatih Pusat Kokurikulum Sabah sedang menjalani Kursus Bantu Mula yang diadakan di Kem Malangang sekarang. Bertujuan untuk melatih para jurulatih dalam kaedah pertolongan cemas, kursus ini diharap akan dapat membantu melengkapkan kemahiran jurulatih yang terpilih ini dan digunakan apabila diperlukan. Selamat berkursus pada jurulatih sekalian.

03 Mei 2010

Norikot nodii bulan Lima..

Norikot nodii bulan Lima...ungkapan bahasa Dusun ini jika diterjemahkan ke Bahasa Melayu bermaksud, bulan Mei sudah tiba. Baris pertama, rangkap pertama bagi lirik lagu Dusun berkisar tentang pesta/perayaan yang dirayakan oleh masyarakat KadazanDusun di Sabah. Apa dia? Tentu sekali Perayaan Pesta Menuai. Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah bulan Mei ya, kawan-kawan?

Cuaca hari ini begitu panas. Suhu mencecah 31 darjah celcius. Sekadar untuk mengingatkan kawan-kawan sekalian, minumlah air secukupnya. Tidak banyak, 8 gelas air lebih dari memadai. Bukan air teh atau kopi atau minuman berkarbonat, tetapi air biasa, skyjuice atau mineral water. Minumlah lebih sikit kalau tugasan anda membawa anda ke kawasan luar lindungan bumbung.
Setelah berbulan blog ini diwujudkan, rasanya ramai yang sudah melayari alamat web ini dan sedikit sebanyak mengetahui aktiviti-aktiviti yang ada diadakan di Kem Malangang. Bagi mereka yang telah pernah berkhemah di Kem Malangang, pasti mempunyai kenangan-kenangan pahit manis yang tidak akan dapat dilupakan.

Kem Malangang, yang terletak di Kg.Kiulu, Tamparuli terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandaraya Kota Kinabalu. Untuk mengetahui lokasi Kiulu, sila klik sini. Beberapa kawasan tepi sungai Kiulu boleh dijadikan tapak piknik yang sesuai dilawati pada hujung-hujung minggu dan memang pun selama ini menjadi tapak cuti-cuti Sabah bagi mereka yang ingin bersantai bersama ahli-ahli keluarga mahupun sahabat handai.

Dalam beberapa minggu lagi, cuti pertengahan tahun akan tiba. Kalendar aktiviti pusatko tetap penuh. Bagi anda yang sudah membuat rancangan untuk pergi melancong, selamat bercuti dan melancong. Bagi anda yang belum membuat rancangan, rancanglah baik-baik...